Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia (SP1M)
As-salam,
Apakah Simpanan Persaraan 1 Malaysia ataupun singkatannya SP1M? Siapakah yang layak membuat simpanan ini? Apakah manfaat atau faedah yang diperolehi apabila anda menyertai skim ini?
Tujuan SP1M adalah sebagai satu saluran untuk golongan orang yang bekerja sendiri atau mereka yang tiada pendapatan tetap menabung bagi tujuan persaraan dan menzahirkan keprihatinan kerajaan kepada golongan ini melalui pemberian insentif untuk menabung bagi persaraan mereka.
Mereka yang layak menyertai SP1M adalah mana-mana individu yang bekerja sendiri atau tiada pendapatan tetap seperti pemandu teksi, penjaja, petani, nelayan, perunding bebas, golongan profesional dan lain-lain, surirumah, dan kakitangan perkhidmatan awam yang telah diletakkan di bawah taraf berpencen.
Berapa kadar caruman SP1M
Caruman SP1M adalah tertakluk kepada kemampuan individu itu sendiri. Anda boleh mencarum secara sukarela pada bila-bila masa dengan jumlah minimum sebanyak RM50. Mulai 1 Januari 2013, simpanan maksimum secara sukarela dihadkan kepada RM60,000 setahun.
Faedah dan manfaat menyertai SP1M
- Simpanan akan mendapat dividen tahunan tertakluk kepada kadar dividen minimum 2.5%,
- Layak mendapat Bantuan Kematian (RM2,500) dan Bantuan Hilang Upaya yang berjumlah RM5,000 tertakluk kepada syarat tertentu
- Boleh mengeluarkan simpanan dalam Akaun 2 bagi tujuan perumahan, pendidikan, kesihatan dan apabila mencapai umur 50 tahun,
- Kesemua simpanan boleh dikeluarkan apabila mencapai umur 55 tahun
Cara menyertai SP1M:
Anda perlu menjadi ahli KWSP terlebih dahulu dengan mengisi Borang KWSP 3 dan menyertakan salinan Kad Pengenalan. Selepas itu, anda boleh memohon menyertai SP1M dengan mengisi Borang Pilihan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia iaitu Borang KWSP 16G(1M).
Untuk maklumat lanjut, boleh layari website KWSP di http://www.kwsp.gov.my/portal/ms/member/booklet/epf-savings-and-your-retirement
Comments
Post a Comment